14 NOV : Thailand dan Kemboja memberi komitmen untuk mencari penyelesaian damai atas konflik kedua-dua negara tersebut.
Perkara itu disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pemimpin tersebut melalui panggilan telefon, hari ini.
“Saya telah berbicara dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul menerusi telefon untuk membincangkan perkembangan usaha damai susulan insiden terkini di sempadan kedua-dua negara.
“Alhamdulilah, kedua-duanya memberikan maklum balas positif serta menegaskan komitmen untuk mencari penyelesaian damai, seterusnya mematuhi perkara yang telah dipersetujui dalam Perjanjian Damai Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, malam tadi.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau sempat menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat gencatan senjata berlaku antara dua negara tersebut.
“Saya menegaskan pendirian Malaysia untuk melihat persahabatan dan gencatan senjata antara kedua-dua negara diperkukuh selaras persefahaman yang termeterai di Kuala Lumpur hujung bulan lalu.
“Saya juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam merintis jalan damai ini,” katanya.
Menurut Anwar, kedua-dua Perdana Menteri itu turut menyampaikan penghargaan atas pendirian Malaysia serta peranan yang digalas bukan sahaja sebagai Pengerusi ASEAN tetapi juga selaku sahabat dan jiran serantau yang mendambakan keamanan.
“Semoga kedua-dua negara terus menunjukkan kesungguhan dan keberanian untuk mengembalikan kestabilan di perbatasan demi keamanan yang berkekalan di rantau ini dan demi keselamatan rakyat kedua-dua negara,” katanya.