14 NOV : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melawat 359 premis peranti komunikasi di seluruh negara bagi memberi penerangan tentang keperluan pemerakuan dan label MCMC pada peranti komunikasi.
Menurut MCMC, tindakan itu dapat membantu pemilik dan petugas di kedai memahami langkah yang diambil bagi memastikan peranti selamat, asli, mematuhi standard serta serasi dengan rangkaian selain tidak mengganggu frekuensi.
“Sepanjang pelaksanaan aktiviti ini, maklum balas yang diterima daripada para peniaga adalah sangat positif dan mereka menyatakan komitmen, menyambut baik pendekatan turun padang MCMC dan akan mematuhi keperluan pemerakuan serta pelabelan peranti komunikasi seperti yang ditetapkan.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC untuk memastikan keselamatan pengguna terjamin serta memelihara integriti rangkaian komunikasi negara dengan memastikan hanya kelengkapan komunikasi yang mematuhi standard dijual di pasaran,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, hari ini.
MCMC menjalankan lawatan berkenaan di bawah program ‘Direct Engagement’ dari Jun 2024 sehingga November 2025.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan semua pihak perbuatan menjual atau menggunakan peranti tanpa kelulusan atau label MCMC merupakan satu kesalahan yang boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pengguna digalakkan untuk berbelanja dengan yakin, dengan hanya membeli peranti yang diperakui dan mempunyai label MCMC,” menurut suruhanjaya itu lagi.
Bagi memudahkan semakan status pemerakuan, pengguna digalakkan menggunakan aplikasi Check Your Label (CYL) yang boleh dimuat turun melalui Apple App Store atau Google Play Store.
Katanya, pengguna hanya perlu memasukkan nombor Label ID MCMC, nombor IMEI atau nombor siri bagi mendapatkan status pemerakuan dan maklumat peranti untuk memastikan produk tersebut sah serta mematuhi standard yang ditetapkan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cyl.gov.my.