17 NOV : Malaysia kini berada dalam kelompok negara yang menawarkan kadar Internet antara paling rendah di dunia bagi setiap gigabait.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata usaha mencerminkan usaha konsisten kerajaan memastikan akses digital yang inklusif serta mampu milik untuk rakyat.
Beliau menjelaskan Malaysia turut berjaya melaksanakan rangkaian 5G dengan kadar yang sangat pantas sehingga menjadikan negara ini rangkaian 5G terpantas di Asia Tenggara dan kedua terpantas di Asia Pasifik selepas Korea Selatan.
“Kita adalah antara 10 negara yang kadar Internetnya bagi setiap gigabait berharga sekitar 2 sen. Sebelum ini, saya rasa kita jarang sekali menyaksikan situasi di mana syarikat-syarikat telekomunikasi duduk bersama dan mencapai satu bentuk konsensus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Bersama Diaspora Malaysia di Rumah Malaysia di Baku, Azerbaijan pada Ahad.
Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Dunia 2025 (WTDC-25) di Azerbaijan.
Mengulas soal persidangan itu, Fahmi berkata kehadirannya itu merupakan sebahagian daripada usaha mengekalkan kerusi Malaysia dalam Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi penggal 2027–2030 susulan pencalonan semula yang diumumkan Julai lalu.
