PM naik MAS lebih jimat ke benua Afrika : PMO
17 NOV : Delegasi lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya akan menggunakan penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menjelaskan ia lebih menjimatkan masa perjalanan dan kos.
“Mengapa kita menggunakan pesawat sewaan khas? Ia menjimatkan masa. Seperti mana saya maklumkan, jadual padat di ketiga-tiga negara tanpa transit ya.
“Kalau guna penerbangan eksekutif kerajaan itu, ia akan ambil masa 13 jam (perjalanan) dan kapasiti pesawat itu juga kurang.
“Bila mana kita buat keputusan untuk membawa komuniti perniagaan bersama ini dengan pesawat sewaan khas, perjalanan hanya sembilan jam lebih untuk ke Afrika dan kosnya juga terkawal serta lebih ekonomik berbanding operasi penuh pesawat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, hari ini.
Pada sesi itu, beliau mengumumkan Perdana Menteri akan memulakan lawatan penting ke benua Afrika melibatkan Ethiopia, Afrika Selatan dan Kenya pada mulai esok hingga 24 November ini.
Katanya, ketiga-tiga negara itu menawarkan peluang kerjasama yang luas sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk mempelbagaikan pasaran dan mengukuhkan kedudukan Malaysia di arena antarabangsa.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA