17 NOV : Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais dilantik menjalankan kuasa dan tugas Hakim Besar Malaya berkuat kuasa 15 November lalu sehingga jawatan itu diisi.
Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam satu pemakluman berkata pelantikan tersebut selaras dengan peruntukan Seksyen 9(3)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
“Saya dengan ini melantik Yang Amat Arif Datuk untuk menjalankan kuasa-kuasa dan tugas-tugas Hakim Besar Malaya mulai 15 Nov 2025 sehingga jawatan tersebut diisi secara hakiki,” menurut pemakluman melalui surat rasmi itu.
Pelantikan baharu itu dibuat susulan persaraan wajib Tan Sri Hasnah Hashim, 66 pada Jumaat, selepas 42 tahun berkhidmat dalam badan kehakiman.
Hasnah merupakan wanita ketiga dilantik sebagai Hakim Besar Malaya, selepas Tan Sri Norma Yaakob dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.
Beliau juga mencipta sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Penolong Penasihat Undang-Undang di Selangor.
Pada 28 Julai lalu, Abu Bakar mengangkat sumpah sebagai Presiden Mahkamah Rayuan menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara.