1 DIS : Portfolio baharu untuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dijangka diumumkan Rabu ini susulan tempoh sebagai Senator.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tugasan baharu akan diberikan kepada Tengku Zafrul selepas tempoh perkhidmatannya berakhir pada 2 Disember.
“Dia masih ada tanggungjawab, tak boleh lepaskan begitu sahaja. Dia akan terus kerja yang saya bakal umumkan pada 3 Disember.
“Peranan MITI dan keluarga MITI di bawah pimpinan Tengku Zafrul sangat membanggakan dan nampak kejayaan dicapai, beliau juga mengembangkan jaringan perdagangan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua, hari ini.
Tengku Zafrul mengangkat sumpah sebagai Senator pada 2 Disember 2022 dan di bawah Perlembagaan Malaysia, tempoh jawatan seorang Senator adalah tiga tahun dan boleh dilanjutkan sehingga dua penggal.
Sementara itu, Tengku Zafrul mengakui berasa sedih untuk meninggalkan MITI, namun percaya kementerian itu akan terus diterajui pasukan yang berkebolehan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peluang dan amanah yang diberikan untuk menjadi Menteri MITI selama tiga tahun.
“Saya juga mahu menyampaikan penghargaan kepada Ketua Setiausaha dan semua agensi di bawah MITI yang memberikan sokongan padu serta kepercayaan.
“Sebarang tanggungjawab baharu yang diberikan oleh Anwar akan saya bantu, atas kapasiti apa itu saya belum tahu, nanti kita nantikan,” katanya.