MCMC kesan 957 kandungan jelik berkait kanak-kanak
3 DIS : Sebanyak 957 kandungan jelik berkaitan kanak-kanak di kesan di media sosial antara 1 Januari 2024 sehingga 30 November 2025.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata sebanyak 899 atau 94 peratus kandungan dipohon untuk diturunkan itu dipatuhi penyedia platform media sosial.
“MCMC menjalankan pengesanan dan permohonan penurunan kandungan secara berterusan kepada penyedia perkhidmatan media sosial.
“Platform paling responsif Tumblr, TikTok, Facebook,” menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MCMC lagi, kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dalam menjalankan penguatkuasaan turut dipertingkat secara agresif melalui operasi bersama.
“Pada Op Pedo 1.0 Disember 2024, 13 individu ditahan dan lebih 40,000 bahan melibatkan eksploitasi seksual kanak- rampasan kanak.
“Kejayaan lebih besar dicapai melalui Op Pedo 2.0 (22-30September) yang menyaksikan 31 suspek ditahan di 37 lokasi termasuk kes melibatkan guru dan warga asing,” menurut MCMC.
Menyentuh soal Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025), MCMC kini menumpukan usaha kepada penyediaan instrumen subsidiari bagi mengukuhkan kewajipan Pemberi Perkhidmatan berlesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Pendekatan baharu ini meletakkan perlindungan kanak-kanak sebagai keutamaan termasuk pengurusan risiko platform serta langkah pencegahan terhadap kandungan memudaratkan.
“ONSA 2025 memperkenalkan kerangka kawal selia yang lebih proaktif dengan menetapkan tanggungjawab jelas kepada platform untuk mengurus kandungan berisiko tinggi seperti bahan penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM), kandungan lucah, kandungan sumbang serta kandungan berkaitan kemudaratan diri,” menurut MCMC.
Kata MCMC lagi, dalam aspek pendidikan awam, Kempen Internet Selamat (KIS) akan terus dipergiat dan terkini dilaksana di 8,454 institusi pendidikan melibatkan pelajar, ibu bapa, pendidik dan komuniti.
“Persiapan bagi pelaksanaan ONSA 2025 dan penguatkuasaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial mulai 2026 juga sedang dilaksanakan.
“Inisiatif KIS 2.0 pada 2026 akan memberi tumpuan kepada peningkatan literasi keselamatan digital dalam kalangan ibu bapa,” katanya.
MCMC menambah akan kekal komited memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian melalui kawal selia yang tegas, penguatkuasaan bersepadu dan pendidikan masyarakat yang berterusan.