29 DIS : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah dilantik sebagai Menteri Besar Perlis yang baharu pada Ahad.
Beliau yang juga EXCO Pelancongan dan Kebudayaan Perlis pada pentadbiran sebelum ini mengangkat sumpah jawatan di Istana Arau.
Beliau mengangkat sumpah selepas diperkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis merangkap Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Perlis itu merupakan Menteri Besar pertama dari parti itu di Perlis.
Pelantikan beliau bagi menggantikan ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli dari PAS yang meletak jawatan sebagai Menteri Besar Khamis lalu atas faktor kesihatan.
Difahamkan tiga ADUN PAS yang diberhentikan keahlian parti serta-merta pada Rabu, Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) tidak dijemput pihak istana.
PAS dalam satu kenyataan sebelum ini mengumumkan pemberhentian keahlian tiga ADUN itu selepas mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) menarik sokongan kepada Mohd Shukri.
Speaker DUN kemudiannya mengumumkan pengosongan tiga kerusi DUN itu dan memohon Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil (PRK).