9 JAN : Tiada usul yang mencadangkan UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan selepas kesemua 662 usul diterima dari 175 Bahagian UMNO menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, minggu depan.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan perkara itu hari ini di mana kebanyakan usul menyentuh soal politik, agama, pendidikan dan ekonomi.
“Usul kebanyakannya berkisar dalam konteks politik, agama, pendidikan dan ekonomi dengan antara usul paling panas atau paling banyak dihantar ialah menuntut keadilan serta pengampunan penuh untuk Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menurutnya, kesemua usul itu diterima hasil persidangan UMNO Bahagian yang diadakan pada tahun lalu melibatkan 175 daripada 191 bahagian.
PAU 2025 yang ditangguh dua kali pada tahun lalu dijadual berlangsung 14 hingga 17 Januari ini.
Mengulas lanjut, Asyraf berkata tiada juga sebarang usul diterima itu berkait menjalin kerjasama dengan parti politik lain.
Namun katanya, mana-mana bahagian tidak menghalang daripada jurucakap parti membangkitkan pandangan atau sentimen akar umbi semasa perbahasan.
Setakat ini katanya, 6,412 perwakilan sudah mendaftar melibatkan 2,928 orang bagi PAU 2025, 1,165 orang bagi Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, 1,173 orang Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda dan 1,146 orang Perhimpunan Agung Pergerakan Puteri.
Selain itu, Asyraf turut mengesahkan kehadiran wakil MCA, MIC dan Friends of Barisan Nasional bagi majlis perasmian PAU 2025.
Namun katanya, tiada wakil parti Kerajaan Perpaduan dijemput menghadiri perhimpunan itu.
Menurutnya, ia bagi memberi ruang kepada perwakilan dan jurucakap sayap parti untuk bersuara secara terbuka pada persidangan itu.