12 JAN : Kerajaan mengingatkan mana-mana rakyat Malaysia yang berada di Narathiwat agar mematuhi perintah berkurung yang dikuatkuasakan Kerajaan Thailand.
Perintah berkurung itu diumum Kerajaan Thailand susulan serangan terhadap 11 stesen minyak di tiga wilayah iaitu Narathiwat, Yala dan Pattani pada Ahad.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla memaklumkan orang ramai diperintah berada dalam rumah pada jam 9 malam hingga 5 pagi.
Selain itu, mana-mana pihak yang berhasrat untuk ke wilayah itu juga dinasihatkan menangguh perjalanan.
“Mengambil kira perkembangan terbaharu ini, warganegara Malaysia yang menetap atau sedang melawat wilayah Narathiwat adalah dinasihatkan untuk mematuhi arahan perintah berkurung, manakala mereka yang berhasrat untuk ke wilayah tersebut hendaklah menangguhkannya sehingga situasi mengizinkan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, mana-mana rakyat Malaysia yang berada di wilayah itu juga digalakkan mendaftar dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla di talian +6674 311 062 / +6674 316 274 atau +6693 657 0707 (kecemasan sahaja) atau e-mel di mwsongkhla@kln.gov.my.
Terdahulu, Thailand mengesahkan 11 stesen minyak di Narathiwat, Yala dan Pattani diserang bom dan dibakar secara serentak awal pagi semalam yang menyebabkan empat orang cedera.
Penyerang itu dilaporkan bergerak dalam kumpulan dan bersenjatakan senapang dan menanam bahan letupan serta membakar stesen minyak, kedai serbaneka juga tangki bahan api.