12 JAN : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan tentangan dan bantahan keras terhadap sebarang aktiviti songsang komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang dianjurkan di negeri itu.
Baginda menitahkan agar Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir bertindak tegas terhadap sebarang aktiviti yang melibatkan LGBT.
“Sultan Selangor juga tidak berkenan sebarang bentuk penganjuran festival, perarakan, aktiviti, sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di negeri ini.
“Baginda tidak berkenan sebarang penubuhan persatuan, kelab, pertubuhan dan NGO yang berkaitan dengan LGBT di Negeri Selangor,” menurut satu kenyataan media, hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Salehuddin dan Anhar hari ini usai menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan.
Terdahulu, keduanya dipanggil menghadap bagi baginda menyatakan pendirian tegas berhubung penganjuran ‘Glamping with Pride’ dijadual pada 17 dan 18 Januari 2026 di Hulu Langat yang dikaitkan dengan komuniti LGBT.
Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut selaras dengan titah Sultan Selangor, MAIS dan Mufti Selangor turut menyuarakan bantahan dan tentangan terhadap sebarang bentuk penganjuran aktiviti sambutan atau promosi gaya hidup songsang LGBT dalam mana-mana daerah di Selangor.
“MAIS dan Mufti Selangor menegaskan bahawa agama Islam mengharamkan amalan songsang LGBT yang mempunyai persamaaan dengan perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S. Perbuatan ini adalah perbuatan yang dimurkai Allah SWT dan telah menimpakan azab ke atas kaum Nabi Luth A.S atas perbuatan tersebut.
“Perbuatan liwat kaum Nabi Luth A.S. yang turut diamalkan oleh kumpulan LGBT ini adalah termasuk dalam kategori dosa-dosa besar dan perbuatan tersebut lebih hina berbanding dengan kesalahan zina. Bahkan mereka yang mengamalkan perbuatan ini bakal mendapat laknat daripada Allah SWT,” menurut kenyataan itu.
Katanya, sebarang usaha untuk mempromosi atau menghalalkan gaya hidup songsang LGBT adalah bercanggah dengan Maqasid Syariah khususnya dalam aspek menjaga keturunan (Hifz al-Nasl).
Selain itu katanya, sebarang aktiviti LGBT juga mengundang kepada normalisasi LGBT dan ia boleh menjadi satu ancaman kepada aqidah umat Islam.
“Ini kerana mereka menghalalkan apa yang jelas diharamkan agama Islam. Mereka juga percaya bahawa manusia bebas menentukan identiti jantina sedangkan ia bertentangan dengan fitrah yang ditetapkan di luar ketetapan fitrah Allah SWT,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, MAIS juga menegaskan umat Islam, khususnya golongan remaja tidak seharusnya terikut-ikut dengan amalan dan budaya hidup barat yang mengamalkan amalan songsang ini atas dasar kebebasan hak asasi manusia.
“MAIS menegaskan bahawa tidak semua kebebasan hak asasi manusia boleh diterima dan boleh dijadikan sebagai amalan masyarakat Islam jika ianya jelas bercanggah dengan ajaran agama Islam,” menurut kenyataan itu lagi.
Susulan itu, MAIS dan Mufti Selangor menggesa agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menghalang serta tidak mengeluarkan sebarang permit bagi penganjuran program tersebut termasuk program seumpamanya di Negeri Selangor.
“Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), PBT dan PDRM turut diminta untuk menjalankan pemantauan rapi dan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang bagi memastikan aktiviti sedemikian tidak dianjurkan seperti yang dititahkan Sultan Selangor.
“MAIS dan Mufti Selangor menuntut komitmen semua pihak dalam memelihara kesucian agama Islam untuk memastikan Negeri Selangor kekal harmoni dan bersih daripada sebarang amalan songsang yang bertentangan dengan ajaran Islam,” kata kenyataan itu.