14 JAN : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dijangka mengadakan pertemuan dengan pengendali platform X, minggu hadapan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata setakat ini pihaknya masih menanti maklum balas daripada pihak X.
Katanya, masih ada bebearapa perkara yang perlu disahkan sebelum pertemuan kedua pihak tersebut.
“Saya ada dapatkan maklumat terkini, setakat jam 10 pagi tadi, pihak MCMC memaklumkan bahawa mereka telah berhubung dengan pihak X untuk cuba adakan pertemuan pada minggu hadapan tapi ada beberapa perkara yang akan disahkan sebelum pertemuan itu berjalan.
“Tetapi mereka ada berhubung dan sekarang kita nantikan maklum balas,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jemaah menteri, hari ini.
Fahmi mengulas tentang kenyataan MCMC yang mempertimbangkan tindakan perundangan terhadap susulan kegagalan memastikan aspek keselamatan melalui teknologi kendaliannya, Grok.
Sebelum keputusan itu diambil, MCMC memaklumkan notis sudah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAI LLC pada 3 dan 8 Januari lalu yang mengkehendaki penghapusan kandungan yang menyalahi undang- undang namun tiada tindakan pemulihan diambil.
Terdahulu, kerajaan menyekat sementara akses AI, Grok milik X itu susulan penyalahgunaan berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.