15 JAN : Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohamad Akmal Saleh hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka, berkuat kuasa minggu hadapan.
Beliau mengumumkan keputusan itu dihadapan barisan Pemuda UMNO ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam ucapannya itu, beliau menegaskan keputusan itu dibuat demi tanggungjawab, prinsip dan maruhanya.
“Sebab itu Datuk Seri saya mohon maaf, saya mohon maaf. Saya dengan ini untuk menunjukkan bahawa saya membawa suara akar umbi yang keresahan, dengan ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa pada minggu hadapan.
“Tapi kalau ada orang yang cakap dengan saya, saya lari daripada perjuangan, saya nak beritahu tidak sama sekali saya tinggalkan Pemuda UMNO,” katanya.
Pengumumannya itu menerima sorakan ahli sayap parti itu.
Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi ‘membuka laluan’ untuknya memerangi sekutu politiknya, DAP secara habis-habisan.
“Bagi saya, jawatan dalam kerajaan tidak penting. Tetapi apa yang lebih penting, maruah, prinsip dan suara akar umbi.
“Ini bukan soal jawatan dan wang ringgit. Kalau sebab jawatan, saya tak lepaskan jawatan Exco saya, saya tak lepaskan jawatan yang gaji puluh ribu.
“Tapi disebabkan tanggungjawab, prinsip dan maruah saya, saya berani letakkan jawatan sebagai Exco untuk lawan DAP habis-habisan,” tegasnya.
Menurutnya, meski akur dengan keputusan parti untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga habis penggal namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu memilih untuk menghormati suara akar umbi yang sudah tidak sebulu dengan DAP.
“Saya bincang juga dengan orang-orang penting dalam hidup saya. Kalau ikutkan di peringkat awal, jujur Ketua Menteri (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) boleh sahkan, saya memang nak letakkan semua jawatan saya.
“Jadi apabila saya nyatakan hasrat saya kepada Ketua Menteri dan Datuk Seri Zahid Hamidi (Presiden UMNO), kita bincangkan satu perkara yang mereka cakap pada saya, ‘pejuang tak akan tinggalkan kawan-kawannya’.
“Disebabkan saya hari itu sudah bawa kerisauan rakyat di bawah ini…dah tak boleh duduk lagi dengan DAP ini, orang kita marah dengan DAP.
“Betul saya akur dengan keputusan parti kekal dalam kerajaan sehingga akhir penggal. Saya akur sebagai orang parti. Tetapi seorang pemimpin dibawanya, diangkat ke atas saya perlu akur kepada akar umbi saya,” katanya.