16 JAN : UMNO-Barisan Nasional (BN) memberi peringatan kepada parti sekutu dalam Kerajaan Perpaduan agar tidak mengusik prinsip parti itu.
Penegasan itu disuarakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025, hari ini.
“Namun UMNO bukan parti tempelan atau pelengkap kepada mana-mana gabungan. Jangan ingat UMNO parti daun kari, bila nak masak daun masuk dalam kuali bila dihidang dikuis ketepi. UMNO adalah tiang seri kepada Kerajaan Perpaduan sekarang.
“Keberadaan kita dalam Kerajaan Perpaduan, tidak ada usaha tebuk atap, tidak ada usaha tarik brek. Jangan risau, ini Zahidlah. Kita setia tapi jangan perkotak-katikkan seluruh kepimpinan UMNO dan ahli UMNO.
“Tapi kalau diusik, saya dan Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan) lawan tetap lawan. Jangan cuba-cuba yang dijanjikan, nak beri-berilah. Jangan sekejap beri sekejap berdolak dalih. Cakap depan, jangan pusing-pusing. Kita bila janji kita buat, bukan janji lain buat lain,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN mendedahkan terdapat pihak yang menawarkan kerjasama politik kepada UMNO-BN namun beliau tetap memilih untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan demi amanah negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, UMNO akan terus memainkan peranan dengan penuh tanggungjawab selagi asas kenegeraan dihormati.
“Selagi mana asas kenegaraan dihormati, tiada perkara yang dimungkiri, keikhlasan tidak dikhianati. UMNO akan terus memainkan peranannya dengan penuh tanggungjawab sekali pun ribut datang melanda. Pokok condong ditiup angin, namun akarnya tetap mencengkam bumi.
“Jika ada bisikan iblis yang cuba memperlekeh kesetiaan ini, jika kesabaran dianggap kelemahan, jika cemuhan dan perlecehan dihamburkan terhadap keluarga besar UMNO, sesungguhnya tindakan ini seperti menyimbah minyak ke atas api yang sedang marak,” katanya.
Menyentuh soal Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), Ahmad Zahid berkata UMNO sudah berada dalam fasa untuk menilai dan menentukan haluan politiknya.