KENYATAAN MEDIA
KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA
Cadangan Presiden UMNO berhubung pembentukan satu kolaborasi agung (grand collaboration) antara parti-parti politik dan NGO Melayu dan Islam telah disambut baik oleh para perwakilan dalam Persidangan Agung UMNO (PAU) kali ini.
Perlu ditegaskan, cadangan ini bukan satu koalisi politik dan tidak sama sekali bertujuan untuk menggugat atau menggantikan Kerajaan Perpaduan MADANI yang sedang mentadbir negara. Ia adalah satu ruang musyawarah dan kolaborasi, berasaskan titik persamaan isu-isu bersama, khususnya berkaitan kepentingan Melayu dan Islam.
Perwakilan telah menyatakan persetujuan secara jelas apabila Presiden mengemukakan cadangan ini dan sokongan tersebut dizahirkan sebanyak tiga kali di dewan persidangan. Ini menunjukkan kesepakatan bahawa perbincangan seperti ini perlu diadakan secara matang dan
bertanggungjawab.
Kita tidak boleh menafikan bahawa realiti semasa, termasuk isu-isu sensitif seperti 3R (agama, kaum dan institusi diraja), menuntut ruang dialog yang jujur dan terkawal. Mengelak perbincangan hanya akan membiarkan isu-isu ini dieksploitasi secara tidak bertanggungjawab.
Justeru, penubuhan ini adalah langkah ke arah memberi ruang berdialog untuk orang Melayu yang sememangnya majoriti dalam negara tercinta kita, Malaysia. Perbezaan politik bukan alasan untuk tidak bersama atas kelangsungan satu bangsa dan agama.
UMNO mengambil tanggungjawab ini secara serius kerana UMNO merupakan satu-satunya parti Melayu yang mempunyai legitimasi, autoriti dan kedudukan dalam kerajaan untuk membawa agenda kepentingan Melayu dan Islam ke dalam kerangka pentadbiran negara secara sah dan berkesan.
Usaha ini juga melangkaui sempadan politik kepartian, melibatkan pertimbangan pandangan daripada NGO, CSO dan pelbagai pihak berkepentingan yang berkongsi aspirasi memperkukuh kedudukan Melayu dan Islam dalam kerangka negara majmuk.
UMNO kekal komited kepada kestabilan negara, perpaduan rakyat dan kelangsungan Kerajaan Perpaduan MADANI, di samping memastikan amanah terhadap agama, bangsa dan negara terus dipelihara.
Datuk Seri Azalina Othman Said
Ketua Penerangan UMNO