Tarif 25% terhadap rakan dagang Iran penjajahan baharu
17 JAN : Tarif 25 peratus (%) yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) terhadap rakan dagang Iran dilihat sebagai satu bentuk penjajahan baharu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tindakan Presiden AS, Donald Trump itu hanya akan memporak-perandakan ekonomi global yang menjejaskan kestabilan perdagangan antarabangsa.
“Kita kesal kerana perdagangan yang bebas dijadikan sebagai senjata untuk menekan. Saya rasa ini merupakan suatu bentuk penjajahan baharu.
“Kita tak mahu ini dilakukan secara berleluasa, melainkan terdapat ketidakadilan dalam hubungan kedua-dua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Terdahulu, Trump memberi amaran kepada mana-mana negara yang berdagang dengan Iran akan dikenakan tarif 25 peratus berkuat kuasa serta-merta.
Ia sebagai tekanan terhadap Tehran susulan protes antikerajaan yang meragut lebih 600 nyawa.
Dalam pada itu, Mohamad berkata keputusan Trump itu memecahkan keseimbangan dunia, bukan sahaja dari segi politik tetapi juga perdagangan.
“Bila Presiden Trump buat begitu, dia memecahkan equilibrium dunia. Equilibrium politik dah berkecamuk, equilibrium perdagangan pun dah beramuk.
“Kita dulu ada World Trade Organization (WTO), tetapi WTO tidak lagi dijadikan landasan atau platform untuk perdagangan antarabangsa.
“Jadi kita kesal, dan kita mahu supaya sebarang tindakan dilakukan secara berhati-hati,” katanya.
Menurutnya, Malaysia tidak terjejas susulan keputusan terbaharu Trump itu memandangkan tiada perdagangan langsung dengan Iran.
“Kita dah lama tak berdagang dengan Iran. Kita menjual barang, dia beli barang kita tapi melalui third party,” katanya.