19 JAN : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan sesiapa yang tidak menerima bahasa Melayu agar tidak tinggal di negara ini.
Baginda menyampaikan titah itu pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Parlimen, hari ini.
Dalam titah itu, baginda menyentuh tentang sebarang usaha membuat sistem pendidikan yang baharu perlu dibuat selari dasar pendidikan kebangsaan dan mengutamakan bahasa Melayu.
“Sistem pendidikan negara juga perlu terus diperkasa sebagai pembinaan bangsa, jati diri dan masa hadapan negara. Jika hendak membuat sistem pendidikan yang baharu, ia mesti dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan dan bahasa Melayu mesti menjadi bahasa utama kerana ia adalah bahasa kebangsaan.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mesti terima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda.
Selain itu, baginda turut bertitah kepada kesemua wakil rakyat berhati-hati agar tidak menghasut hingga mewujudkan ketegangan di negara ini.
Baginda turut menyeru agar mereka menjalankan tugas masing-masing dengan penuh amanah, bijaksana dan tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat.
“Yang berhormat sekalian hendaklah berhati-hati supaya tidak menghasut sampai wujud ketegangan antara wilayah. Sebarang perbezaan pandangan haruslah diselesai secara matang dan bukan menerusi kebencian atau syak wasangka.
“Saya juga mengingatkan kepada semua ahli Yang Berhormat bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian yagn dibuat di dalam dewan ini bukan hanya merupakan pendirian politik, parti tapi bakal menentukan masa depan kita,” titah Sultan Ibrahim.
*Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar