19 JAN : Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 pagi tadi jelas dan perlu dilaksana dengan tegas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas soal titah Agong yang menyentuh beberapa perkara terutama berkait isu rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Jelaslah bagus, laksana dengan tegas,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghargaan Sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), hari ini.
Terdahulu, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa kecewa terhadap kes rasuah yang berlaku dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Dalam titah itu, baginda menegaskan setiap individu yang terlibat rasuah termasuk pemberi, penerima dan orang tengah akan diburu untuk diheret ke muka pengadilan.
Baginda turut menyifatkan mana-mana wakil rakyat atau penjawat awam yang menyeleweng amanah rakyat sebagai pengkhianat negara.
Selain itu, baginda bertitah tentang sistem pendidikan yang perlu selari dengan dasar dan mengutamakan bahasa Melayu.
“Oleh itu, sebarang usul untuk mengiktiraf apa juga sistem pendidikan lain, mesti terima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia. Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu lebih baik jangan duduk di Malaysia,” titah baginda.
baginda turut bertitah kepada kesemua wakil rakyat berhati-hati agar tidak menghasut hingga mewujudkan ketegangan di negara ini.
Baginda turut menyeru agar mereka menjalankan tugas masing-masing dengan penuh amanah, bijaksana dan tanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat.
