19 JAN : Penduduk China terus berkurangan untuk tahun keempat berturut-turut tahun lalu, dengan penurunan seramai 3.39 juta orang kepada 1.405 bilion.
Data rasmi itu dikeluarkan hari ini dan angka itu menunjukkan penurunan lebih besar berbanding tahun 2024.
Jumlah kelahiran tahun lalu jatuh kepada 7.92 juta, iaitu paras paling rendah dalam beberapa dekad, berbanding 9.54 juta pada 2024.
Pada masa sama, jumlah kematian meningkat kepada 11.31 juta daripada 10.93 juta pada tahun sebelumnya, menurut Biro Statistik Negara China.
Sejak 2022, populasi China semakin mengecil dan kadar penuaan penduduk semakin cepat di mana keadaan ini menyukarkan usaha kerajaan Beijing untuk merangsang penggunaan domestik dan mengawal hutang negara, apabila ratusan juta penduduk dijangka meninggalkan pasaran kerja sementara kos persaraan terus meningkat.
Jumlah perkahwinan di China juga mencatat penurunan ketara sebanyak 20 peratus pada 2024, iaitu kejatuhan terbesar pernah direkodkan. Hanya kira-kira 6.1 juta pasangan mendaftar perkahwinan, berbanding 7.68 juta pada 2023.
Biasanya, kadar perkahwinan menjadi petunjuk awal kepada jumlah kelahiran.
Namun, pakar demografi menjangkakan mungkin berlaku sedikit peningkatan sementara dalam kadar kelahiran pada tahun akan datang.
Ini susulan langkah China pada Mei 2025 yang membenarkan pasangan berkahwin di mana-mana lokasi dalam negara, berbanding hanya di tempat tinggal mereka sebelum ini, sekali gus memudahkan urusan perkahwinan.