20 JAN : Badan Kehakiman Malaysia bakal menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah dan mendengar rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan berkata inisiatif itu bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
“Hakim Besar Malaya setelah berunding dengan Ketua Hakim Negara bersetuju supaya Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif menubuhkan Mahkamah Tinggi Khas bagi mendengar perbicaraan kes-kes rasuah dan juga mendengar rayuan dari Mahkamah Sesyen Khas Rasuah.
“Sebagai permulaan, inisiatif ini akan dimulakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Sultan Ibrahim ketika menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 semalam bertitah kerajaan perlu menyediakan hakim yang berpengalaman dan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera.
Justeru itu, Badan Kehakiman Malaysia yang mengambil maklum Titah Diraja itu berkata kini terdapat 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah ditubuhkan di negara ini untuk mendengar kes-kes rasuah di seluruh Malaysia dengan matlamat untuk menyelesaikan kes-kes dalam tempoh setahun dari tarikh pendaftaran.