20 JAN : Malaysia menzahirkan kekecewaan terhadap penyertaan beberapa negara Islam dalam Perjanjian Abraham.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tindakan menormalisasikan hubungan dengan Israel itu jelas berbeza dengan negara bukan Islam yang lantang menentang rejim itu.
“Kita menyaksikan satu perbandingan ketara, negara-negara di luar dunia Islam malah tiada kaitan dengan agama atau sejarah Palestin mengambil pendirian bertentangan dengan memutuskan hubungan dagang dan diplomatik dengan Israel.
“Tindakan ini seharusnya membuka mata kita (umat Islam),” katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama pada Persidangan Antarabangsa Penyatuan Umat Islam dan Palestin, hari ini.
Perjanjian Abraham yang dimetrai pada tahun 2020 ditandatangani Emiriah Aarab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi dalam usaha memulihkan hubungan diplomatik dengan Israel.
Dalam pada itu, beliau menggesa negara-negara Islam memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel bagi melemahkan rejim zionis itu.
“Bagaimana kita menterjemahkan iman, kemarahan dan keprihatinan kepada hasil yang bermakna? “Sekurang-kurangnya, negara-negara Islam mesti memutuskan hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.
Mohamad turut menyeru penyatuan umat Islam melangkaui mazhab dan bangsa bagi menentang musuh yang sama.
Dalam pada itu, Mohamad sempat menzahirkan rasa kagum terhadap solidariti masyarakat di Eropah yang berdemonstrasi dengan jumlah yang besar di jalanan untuk rakyat Palestin.
Katanya, tindakan masyarakat Eropah itu mampu menaikkan semangat dalam menentang kekejaman rejim Israel.
“Selama lebih dua tahun, rakyat Eropah bangkit menyatakan solidariti bersama Palestin. Saya sendiri telah pergi ke sana sebanyak tiga kali untuk menyaksikan demonstrasi di Eropah,” katanya.
Tambahnya, isu Palestin bukan sekadar soal sempadan atau percaturan politik antarabangsa, sebaliknya isu kemanusiaan, keadilan dan maruah manusia.
