20 JAN : Selangor merekodkan kadar liputan rangkaian 5G mencapai 96.9 peratus setakat 31 Disember tahun lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata sebagai antara penerima manfaat terbesar, negeri berpenduduk tertinggi di Malaysia dengan anggaran populasi 7.4 juta orang itu menjadi peneraju bandar pintar dan ekonomi digital.
“Selangor menjadi antara penerima manfaat terbesar bagi pelaksanaan inisiatif pendigitalan dan kesalinghubungan ini selaras dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Pintar Selangor 2025 yang meletakkan negeri itu sebagai peneraju bandar pintar dan ekonomi digital.
“Liputan 5G yang tinggi ini bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat serta daya tahan bandar melalui penggunaan teknologi pintar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor, hari ini.
Selain itu, Fahmi berkata kerajaan juga meningkatkan peruntukan kepada RM450 juta sesuai permohonan kerajaan negeri bagi menyokong pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Dalam pada itu, Fahmi berkata kerjasama antara pusat dan negeri ditambah dengan peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai pemudah cara strategik adalah kunci kepada kejayaan agenda pendigitalan serta pembangunan bandar pintar negara.
Kerjasama MCMC dengan Selangor itu bagi memperkukuh pembangunan infrastruktur digital termasuk 5G, Wi-Fi awam berkelajuan tinggi, gentian optik dan tiang pintar, sekali gus menyokong keselamatan awam, pengurusan trafik serta banjir pintar.
Inisiatif itu mencerminkan komitmen Kementerian Komunikasi dalam memacu agenda Malaysia Digital seperti 5G dan kecerdasan buatan (AI) memberikan manfaat kepada rakyat serta kelestarian pembangunan negeri, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI.
Sesi pertukaran MoU ini melibatkan Pengerusi MCMC, Tan Sri Datuk Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Fahmi.
*FOTO : FACEBOOK KEMENTERIAN KOMUNIKASI