24 JAN : Pembentangan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di Parlimen yang ditangguhkan itu perlu untuk mengambil kira 14 syor penambahbaikan dikemukakan UMNO pada Konvensyen URA, tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO berkata demikian susulan keputusan kerajaan semalam untuk menangguhkan pembentangan RUU berkenaan.
“Penangguhan itu dibuat kerana RUU yang ada perlu mengambil kira 14 saranan melalui konvensyen anjuran UMNO.
“Yang disertai banyak NGO (pertubuhan bukan kerajaan), ahli-ahli perusahaan dan juga individu yang mahu memperkukuh URA sebelum ia dibentangkan semula di Parlimen pada sidang yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Makan Malam Perdana sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), malam tadi.
Konvensyen tersebut diadakan pada 3 Oktober lalu mengesyorkan 14 perkara termasuk berkait kredibiliti pemaju, pampasan yang adil, penetapan nilai ambang persetujuan bagi pembangunan semula dan ketelusan penuh insentif kerajaan.
Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan penarikan balik RUU PSB itu.
Menurutnya, RUU itu akan ditambah baik sebelum kembali dibentangkan di Parlimen.
