26 JAN : Kerajaan Negeri Selangor menangguh dan membatalkan sementara pembangunan ladang penternakan babi di Bukit Tagar, Hulu Selangor yang mencetus bantahan penduduk.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata kawasan alternatif akan dicari bagi tujuan tersebut.
“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri telah dimaklumkan mengenai perkara ini pada Rabu lalu.
“Kita sedar terdapat bantahan keras, maka saya arahkan supaya alternatif kawasan lain dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Amanat Tahun Baharu 2026, hari ini.
Menurutnya, perkara itu sudah dibincangkan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).
Katanya, lokasi baharu tidak akan didedahkan selagi ia belum dimuktamadkan.
“Isu ini perlu ditangani dengan lebih berhemah termasuk libat urus bersama pihak berkepentingan, penilaian impak sosial (SIA) serta proses yang lebih teratur.
“Perbincangan dengan pengusaha akan tetap diteruskan. Kita mahu penyelesaian yang adil, munasabah dan tidak menjejaskan keharmonian masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata berlaku salah faham hingga menyebabkan isu itu dilihat seolah-olah diputuskan dengan tergesa-gesa
“Isu ini sudah melampaui daripada realiti sebenar dan sebab itu kita ambil keputusan untuk tangguh serta batalkan dahulu sementara kita beri penjelasan yang jelas kepada semua pihak,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Selangor menzahirkan dukacita dan membantah keputusan kerajaan negeri yang membenarkan operasi sementara penternakan babi di Tanjong Sepat, Kuala Langat bermula tahun ini, sebelum dipindahkan ke Bukit Tagar pada 2030.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan cadangan penternakan di Bukit Tagar itu dibatalkan dan dipindahkan ke lokasi lain.