Ringgit mengukuh dipengaruhi prestasi ekonomi
27 JAN : Pengkukuhan ringgit pada masa ini dipengaruhi angka ekonomi secara keseluruhan yang menunjukkan petanda positif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan berkata prestasi itu bukti keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara.
“Ringgit tidak harus dilihat secara terpisah…harus dilihat juga dari segi peningkatan pelaburan dan pendapatan serta pengangguran yang berkurangan.
“Angka ekonomi secara keseluruhannya menunjukkan petanda positif dan ini berjaya memperkukuh kedudukan ringgit,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkait faktor kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kesannya terhadap eksport dan import negara.
Dalam pada itu, Anwar berkata prestasi semasa ringgit tidak menjejaskan aliran eksport dan import negara malah kerajaan akan terus memperkukuh usaha menarik pelaburan asing.
“Apabila ringgit mengukuh ada kesan positifnya dan ada sedikit yang membimbangkan kerana ia terkait dengan eksport dan import barangan.
“Namun, pada keseluruhannya, jika kita lihat, tidak ada negara yang mahu nilai mata wang mereka itu merosot dan rendah luar daripada kekuatan yang sepatutnya dipertahankan,” kata beliau.
Ringgit diniagakan pada 3.9650/9750 pagi ini berbanding dolar AS daripada 3.9615/9670 semasa ditutup semalam.
Anwar turut memaklumkan pada 2025, eksport menjana RM45.4 bilion melalui hubungan dengan lebih 10 negara utama, sementara jumlah perdagangan keseluruhan mencapai rekod tertinggi RM3.061 trilion, meningkat 6.3% berbanding 2024.
Katanya, kejayaan itu hasil dasar terbuka dan usaha menembusi 240 pasaran di seluruh dunia sekaligus membuktikan Malaysia mampu menghadapi cabaran global dan terus mengekalkan momentum ekonomi negara.