Tak perlu jelaskan dakwaan beri tanah kepada Indonesia di Parlimen
30 JAN : Tiada keperluan untuk kerajaan memberi penjelasan di Parlimen berkait 5,207 hektar tanah tanah tiga kampung di kawasan Nunukan seperti didesak pembangkang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangkang hanya tahu menyalahgunakan kebebasan bersuara.
“Ini masalah pembangkang. Guna kebebasan bercakap merapu, bohong, guna Islam, guna nama Islam untuk tipu, guna nama Islam (untuk) tipu, guna fakta salah.
“Kalau dia tanya kami minta Perdana Menteri beri penjelasan tak apa. Dia buat hukuman, menipu terus menerus. Saya tak boleh terima alasan sebegini. Ini bukan perangai pembangkang yang wajar dalam negara kita. Mesti bertanggungjawab.
“Tak perlu bagi penjelasan (di Parlimen). Dia mesti bertanggungjawab, buat tuduhan, menipu, memfitnah terus menerus dan kita tidak boleh terima cara politik buruk dan busuk seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, hari ini.
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menuntut kerajaan membincangkan dakwaan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan di Parlimen.
Terdahulu, media melaporkan tiga kampung di Kabupaten Nunukan, Kalimantan Utara dikatakan kini termasuk dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara Malaysia dan Indonesia.
Anwar sebelum ini menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung itu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup pula menegaskan dakwaan itu kurang tepat.
Jelasnya, pengukuran sempadan darat membabitkan tiga kampung di Indonesia itu dimuktamadkan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimetrai 18 Februari 2025 selepas Malaysia dan Indonesia melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif selama lebih 45 tahun.
