4 FEB : Israel dilaporkan menghalang pesakit dan individu cedera daripada melalui pintu sempadan Rafah di selatan Gaza, hari ini.
Perkembangan itu jelas mengejutkan pihak terlibat termasuk pesakit.
Jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Raed al-Nims berkata pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan pembatalan itu.
Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan pembatalan itu dibuat meski semua prosedur sudah diselesaikan dan pesakit sudah bersedia di Hospital Bulan Sabit Merah di Khan Younis.
Menurut Raed, sejak pintu sempadan itu dibuka semula Isnin lalu hanya 50 pesakit dan individu cedera termasuk pengiring mereka berjaya melalui sempadan itu.
Katanya, pembatalan itu dilihat sebagai cubaan melengah-lengah dan menghalang pesakit keluar.
*Foto : Saeed Jaras/Anadolu