KDN sekali lagi minta penganjur tidak teruskan perhimpunan
7 FEB : Kementerian Dalam Negeri sekali lagi meminta penganjur perhimpunan berkait rumah ibadat yang dijadual malam ini agar tidak meneruskan rancangan tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata negara sepatutnya berada dalam keadaan tenang dan terkawal terutama ketika menerima tetamu penting.
“Rancangan asal melibatkan satu perhimpunan dan satu lagi perhimpunan balas. Pihak polis bertemu dengan kedua-dua penganjur dan menyampaikan dari sudut keselamatan serta adab juga tertib negara menerima tetamu, keadaan seharusnya tenang dan terkawal.
“Satu pihak bersetuju untuk tidak meneruskan, manakala satu lagi melalui kenyataan masih berhasrat untuk meneruskan. Saya masih mengambil peluang ini untuk sekali lagi meminta supaya ia tidak diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat projek sakit Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Jalan Langgar, Kedah, hari ini.
Malaysia dijadual menerima kehadiran Perdana Menteri India, Narendra Modi bagi lawatan rasmi mulai hari ini sehingga esok.
Terdahulu, polis tidak membenarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung malam ini atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman.
Sementara itu, Penyelaras GARAH dilaporkan tetap mahu meneruskan perhimpunan itu.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau menyerahkan penilaian dari sudut keselamatan dan potensi pelanggaran undang-undang kepada pihak polis.
“Dari sudut Akta Perhimpunan Aman, isu permit tidak lagi timbul. Namun, atas alasan ketenteraman awam dan keselamatan, tindakan masih boleh diambil,” katanya.