Ini amaran PM untuk pihak cabar undang-undang
7 FEB : Mana-mana pihak yang cuba mencabar undang-undang akan dikenakan tindakan maksimum.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran itu susulan perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung malam ini meski tidak dibenarkan polis.
“Ini yang dibangkitakn (isu) kuil. Saya beri arahan tegas dalam mesyuarat jemaah menteri semalam. Nak bagi pandangan boleh, nak bagi kritikan boleh. Ini negara bebas.
“Tapi kalau kami ganggu-gugat keselamatan negara dan kamu cuba khianati…persulitkan keselamatan ketika ada tetamu negara kita, percayalah saya akan ambil tindakan maksimum. Tangkap mereka dan humbankan mereka,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, hari ini.
Dalam ucapan sama, Anwar yang juga Presiden PKR mengingatkan semua pihak agar tidak melanggar prinsip undang-undang negara ini.
“Kamu gunakan kebebasan, boleh! Cakaplah apa nak cakap. Ini saya nak tegur sikit masalah Melayu dengan India. Nak buat masjid, bantu. Nak dakwah, teruskan bagi sambutan…silakan.
“Orang-orang India, kawasan dia, jangan ganggu kawasan orang. Tetapi jangan hasut sampai benci satu sama lain. Jangan langgar prinsip undang-undang. Kamu bukan hakim, kamu bukan ketua polis. Kamu nak ‘ambil alih’ (jawatan) ketua polis kami tangkap kamu dan humban kamu. Percayalah. Nak ‘test’, buatlah (himpunan) hari ini,” katanya dengan nada tegas.
Mengulas lanjut, Anwar berkata bantahan boleh disuarakan melalui nota bantahan bukan dengan menghasut hingga menggugat keselamatan negara.
“Tanggungjawab kita pertama (sekali) keselamatan negara. Nak bantah boleh bantah. Hantar memo, bantah kuil dibina di sini, boleh bantah. Tapi kalau gugat keselamatan, cuba guna hasutan begini negara tak akan selamat.
“Tanggungjawab saya jaga negara, bukan nak jaga satu dua orang yang menjerit tak tentu arah ini,” katanya.
Terdahulu, polis tidak membenarkan Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) yang dijadual berlangsung malam ini atas faktor keselamatan awam dan risiko gangguan ketenteraman namun penganjurnya masih berkeras untuk meneruskan perancangan tersebut.