9 FEB : Pembukaan semula Lintasan Rafah dengan Mesir secara terhad sejak 2 Februari lalu menyaksikan 179 pesakit bersama pengiring rakyat Palestin keluar dari Gaza.
Lintasan Rafah merupakan satu-satunya laluan untuk penduduk Gaza keluar tanpa melalui Israel.
Pembukaan lintasan itu selepas hampir dua tahun tentera Israel mengambil alih kawalan ke atasnya ketika perang dengan Hamas.
Ketua pejabat media kendalian Hamas, Ismail al-Thawabteh berkata sepanjang Isnin hingga Khamis minggu lalu, seramai 135 orang keluar dari Gaza ke Mesir melalui lintasan berkenaan yang mana rata-rata mereka adalah pesakit bersama pengiring masing-masing.
“Statistik rasmi pergerakan di Lintasan Rafah dari 2 hingga 5 Februari lalu menunjukkan sekatan perjalanan yang sangat ketat,” katanya.
Menurutnya lintasan tersebut ditutup pada Jumaat dan Sabtu.
Sementara itu, pergerakan masuk ke Gaza dari Mesir pula menunjukkan 88 orang melalui lintasan itu setakat ini.
Israel membenarkan Lintasan Rafah dibuka semula Isnin minggu lalu susulan tekanan Amerika Syarikat (AS).
Namun ia hanya dihadkan kepada pesakit dan ahli keluarga sebagai pengiring.