9 FEB : Semua kerajaan negeri termasuk yang ditadbir pembangkang digesa mematuhi ketetapan berkait pembinaan rumah ibadat yang digariskan Kerajaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rundingan dengan negeri akan dibuat mengenai perkara itu.
Beliau menyeru agar semua pihak mengetepikan perbezaan politik bagi memastikan pengurusan isu pembinaan rumah ibadat mengikut dasar yang jelas.
“Mengenai rumah ibadat, kuil dan sebagainya, saya sudah membuat ketetapan di bawah Kerajaan Persekutuan, selain akan berunding dengan semua kerajaan negeri.
“Ini termasuk kerajaan negeri diterajui pembangkang yang kadang-kadang riuh rendah cakap soal perjuangan mereka tetapi kuil haram lebih banyak di negeri mereka.
“Tidak mengapalah, kita ketepikan perbezaan politik dan Kerajaan Persekutuan dalam merangka keputusan, negara ini mesti terus maju dengan dasar jelas. Marilah bersama melaksanakannya sebaik mungkin, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata semua pihak perlu menerima kenyataan bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berperlembagaan.
“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada ketetapan akhirnya di negara ini. Semua kaum dan agama mesti tunduk serta terima kenyataan yang Malaysia ini negara hukum.
“Mahu duduk di sini, ikut peraturan. Kalau betul kita anak Malaysia yang merdeka dan tunduk kepada prinsip negara hukum serta undang-undang, kenapa diberikan pengecualian?.
“Kalau mahu beribadat mesti ikut peraturan dan kerana kepentingan serta pertimbangan politik dan pilihan raya,” katanya.