12 FEB : Kementerian Kewangan (MOF) meneliti cadangan penggunaan MyKad untuk pembelian minyak masak bersubsidi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata usaha itu penting bagi membendung ketirisan dan memastikan penyaluran subsidi tepat kepada sasaran.
“Pendekatan ini dapat memanfaatkan infrastruktur sedia ada tanpa memperkenalkan kaedah tambahan yang membebankan rakyat, sekali gus memastikan hanya warganegara yang layak menikmati subsidi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berkait perancangan kerajaan dalam memperluaskan kejayaan mekanisme penyelarasan subsidi BUDI MADANI (BUDI95) kepada barangan lain seperti minyak masak dan gula.
Katanya, kerajaan mensasarkan untuk mengintegrasi sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi memperkukuh pengesahan identiti dalam penjualan minyak tersebut.
Mengulas lanjut kata Amir Hamzah pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam perkara itu terutamanya melibatkan penggunaan MyKad untuk Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS).
Menurutnya, melalui kejayaan pelaksanaan BUDI95, ia menunjukkan penggunaan MyKad merupakan mekanisme pengesahan berkesan dan praktikal.
“Sistem BUDI95 memproses secara purata 3.1 juta transaksi sehari tanpa masalah gangguan. Tahap penggunaan yang tinggi menunjukkan mekanisme MyKad mudah diakses, stabil dan diterima baik rakyat.
“Keberkesanan ini turut disokong pelaksanaan SARA 2025 yang merekodkan kadar penggunaan 99 peratus melalui MyKad,” katanya.
Bulan lalu, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pihaknya sedang dalam fasa perbincangan dengan MOF bagi pelaksanaan cadangan menggunakan kad pengenalan sebagai opsyen pembelian minyak masak peket bersubsidi.