12 FEB : Sebanyak 10,234 kes daftar lewat kelahiran direkodkan seluruh negara sepanjang tahun lalu dan 636 kes pada bulan lalu sahaja.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kelewatan itu tidak sepatutnya berlaku lagi di negara ini dengan pelbagai kemudahan ditawar kerajaan.
“Isu pendaftaran lewat kelahiran tidak wajar lagi berlaku kerana kerajaan sudah menyediakan 211 pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara serta perkhidmatan Pasukan Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) bagi memudahkan urusan rakyat.
“Kelewatan atau kegagalan mendaftarkan dokumen pengenalan diri boleh membawa implikasi jangka panjang, termasuk kesukaran mendapatkan akses pendidikan, kesihatan dan peluang pekerjaan serta menjejaskan hak individu sebagai rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada lima kanak-kanak, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata setiap permohonan yang diterima akan dipertimbang Jawatankuasa Panel secara teliti berdasar pembuktian dan dokumen sokongan yang dikemukakan.
Dalam pada itu, Saifuddin mengalu-alukan pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai rakan strategik serta mata dan telinga kerajaan di lapangan.
“Perlu difahami bahawa dokumen pengenalan diri bukan sekadar sekeping kertas. la adalah kunci kepada pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan serta perlindungan hak sebagai warganegara.
“Kegagalan mendaftarkan perkahwinan atau kelahiran bukan sahaja menjejaskan anak-anak hari ini, malah boleh mewariskan masalah ketiadaan identiti kepada generasi seterusnya.
“Masyarakat juga diseru supaya lebih cakna dan bertanggungjawab dalam memastikan setiap peristiwa penting seperti kelahiran, perkahwinan dan kematian didaftarkan mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.
