13 FEB : Lembaga Disiplin Bersatu hari ini memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali keputusan tersebut seiring Fasal 22.5 perlembagaan parti.
“Hamzah dipecat dan hak-hak keahliannya dalam parti digugurkan di bawah Fasal 22.5 berkuat kuasa mulai 13 Februari (Jumaat) kerana tindakan beliau melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Majlis Pimpinan Tertinggi parti sudah dimaklumkan keputusan tersebut.
Difahamkan keputusan pemecatan ke atas bekas Menteri Dalam Negeri itu dibuat semalam tanpa kehadiran Hamzah yang kini berada di luar negara.
Namun Hamzah boleh mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari.
Sebelum ini Hamzah dipanggil Lembaga Disiplin parti bagi membantu siasatan berkait dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) serta serangan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Keriuhan semakin terasa dalam kalangan ahli Bersatu selepas 16 Ahli Parlimennya dilaporkan mendesak agar Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan melantik Hamzah sebagai pemangku presiden.