16 FEB : Semua rakyat di negara ini mempunyai hak untuk berhimpun dan tiada masalah selagi mereka tidak melanggar Perlembagaan negara.
Ini termasuk bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki di ibu negara, semalam, kata Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.
Katanya, setakat ini tiada sebarang isu terhadap penglibatan Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi itu dalam himpunan sebagai bantahan terhadap Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki itu.
“Dia (Rafizi) ada hak untuk melaksanakan apa yang dia rasa dia nak lakukan. Di bawah Perlembagaan, rakyat Malaysia ada hak untuk berhimpun.
“Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur (Datuk Fadil Marsus) mengatakan dalam 150 hingga 200 orang hadir dan tidak berlaku apa-apa insiden yang mencemaskan atau pun mengganggu keselamatan, maka ia tidak menjadi isu.
“Kita (parti) belum bincang lagi, jadi saya rasa masih terlalu awal untuk saya sebut apa-apa. Saya rasa tidak jadi apa-apa isu dan kita serah pada parti juga jika ada apa-apa aduan.
“Setakat ini Setiausaha Agung parti (Dr Fuziah Salleh) belum maklumkan ada terima sebarang aduan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Jelajah Ramadan RTM 2026 di Pasar Tani Kekal Datin Halimah, Larkin, hari ini.
Dalam pada itu katanya, Fahmi menegaskan siasatan terhadap pemilikan saham Azam itu sudah diserahkan kepada Jawatankuasa Khas Siasatan yang dibentuk Kabinet sebelum ini.
Menurut Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, di sebalik kontroversi itu kredit tetap perlu diberi sewajarnya terhadap prestasi SPRM dalam pelbagai kes rasuah dan kartel di negara ini.
“Akhir-akhir ini, badan penguatkuasaan ambil tindakan yang sangat tegas terhadap perasuah, kumpulan kartel sama ada yang menyeludup dadah dan membanteras kegiatan cuci wang haram, jadi kita kena bagi kredit sewajarnya.
“Mana ada yang sempurna. Saya tidak sempurna, Perdana Menteri pun tak sempurna, Rafizi tak sempurna, Azam pun tak sempurna.
“Jadi, bulan Ramadan ini, kita diajar untuk bermuhasabah, saya harap semua akan bermuhasabah diri masing-masing,” katanya.
