19 FEB : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel yang mendaftarkan tanah secara haram di Wilayah Tebing Barat yang Diduduki.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini menyifatkan tindakan ini sebagai satu percubaan penempatan secara tidak sah bagi menduduki wilayah Palestin secara kekal.
“Tindakan yang belum pernah berlaku sejak 1967 ini merampas tanah hak Palestin, memperluas penaklukan dan secara terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Geneva Keempat dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2334.
“la mengukuhkan pendudukan haram, merampas tanah Palestin dan kawalan secara haram oleh Israel ke atas Wilayah Palestin yang diduduki, menjejaskan hak rakyat Palestin serta prospek penyelesaian dua-negara yang adil,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Wisma Putra menegaskan Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk menolak langkah-langkah yang tidak sah itu selain menuntut Israel bertanggungjawab dan memastikan hak rakyat Palestin dihormati.
Ini termasuk hak mereka yang tidak boleh diambil ke atas tanah mereka yang kini sedang dijajah dan dirampas melalui penempatan haram dan langkah pendaftaran tanah secara tidak sah, kata Wisma Putra.
“Malaysia menegaskan solidariti tidak berbelah bahagi dengan rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk kebebasan, keadilan dan penubuhan negara merdeka berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut Wisma Putra.