20 FEB : Adik kepada Raja Charles III, Andrew Mountbatten-Windsor, dilaporkan ditahan pihak berkuasa selepas didakwa menyalahgunakan kedudukan semasa menjalankan tugas rasmi.
Kesalahan itu dikatakan berlaku ketika beliau berkhidmat sebagai utusan perdagangan United Kingdom (UK) sebelum meletakkan jawatan pada 2011.
Polis turut menggeledah beberapa alamat di Norfolk dan Berkshire termasuk kediaman yang pernah didiami bekas putera itu sebelum beliau meninggalkan kediamannya di Windsor awal bulan ini.
Terdahulu, polis memaklumkan mereka sedang meneliti dakwaan bahawa seorang wanita telah diperdagangkan ke UK oleh Jeffrey Epstein bagi tujuan pertemuan seksual dengan Mountbatten-Windsor.
Beliau juga didakwa berkongsi maklumat sensitif dengan pesalah seks yang disabitkan kesalahan itu ketika memegang jawatan sebagai utusan perdagangan UK.
Bagaimanapun, Mountbatten-Windsor menafikan semua tuduhan tersebut dan menegaskan beliau tidak pernah menyaksikan atau mengesyaki sebarang perlakuan seperti yang didakwa terhadap Epstein.