21 FEB : Malaysia mengambil maklum keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) semalam yang memutuskan tarif timbal balik dilaksanakan Presiden Donald Trump tidak berperlembagaan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata meski Malaysia sudah menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balik dengan AS namun ia masih belum diratifikasi.
Menurutnya, kerajaan masih meneliti perkembangan undang-undang dan dasar terkini di Washington itu.
Kata Johari, berdasarkan kenyataan AS sebelum ini, negara itu masih mempunyai mekanisme undang-undang lain untuk melaksanakan langkah perdagangan termasuk mengenakan tarif secara unilateral sekiranya diputuskan berbuat demikian.
“Malaysia juga mengambil maklum pengumuman terbaharu oleh Presiden AS, Donald Trump, mengenai langkah tarif sementara 10 peratus yang kini sedang diteliti skop serta implikasinya.
“Pada peringkat ini, kita sedang menunggu penjelasan lanjut mengenai bagaimana langkah tersebut akan dilaksanakan dan sama ada terdapat pelarasan tambahan yang menyusul,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Johari berkata, Malaysia akan meneruskan usaha mempelbagaikan hubungan perdagangan dan memperkukuh kerjasama ekonomi di peringkat serantau serta pelbagai hala bagi memastikan daya tahan sejajar perubahan persekitaran perdagangan global.
Tambahnya, Malaysia akan mengambil langkah terbaik demi kepentingan negara sambil mengekalkan hubungan dua hala yang kukuh dengan AS.
Dalam pada itu, Johari berkata pendirian Malaysia jelas dan konsisten untuk terus komited terhadap perdagangan terbuka dan berasaskan peraturan.
Selain itu katanya, Malaysia juga akan memastikan persekitaran perniagaan yang stabil dan melindungi kepentingan pengeksport Malaysia, pelabur antarabangsa, perniagaan yang beroperasi di negara ini serta sektor pekerjaan.