26 FEB : Malaysia perlu memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan Bahasa Cina yang sudah menjadi jambatan penting dalam sektor ekonomi seluruh dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bahasa itu kini menjadi pilihan termasuk di negara barat.
“Selain Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina (juga) penting. Bahasa Cina ini sudah menjadi bahasa ekonomi yang penting di rantau Asia dan di dunia. Di banyak universiti di barat sekarang, elektifnya dan bahasa pilihannya juga Bahasa Cina.
“Jadi bagi saya, adalah satu kerugian kalau Malaysia tidak memberikan ruang untuk perkukuh penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tetapi mengangkat kedudukan dan mutu penguasaan Bahasa Cina sama ada di sekolah atau di universiti atau di pusat-pusat pengajian tinggi lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Huazong 2026, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata negara ini sering diheret dengan isu-isu kecil yang sensitif dan bermotif perkauman hingga masyarakat alpa terhadap kepentingan memperkukuh ekonomi untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
“Kita lupa, kalau ekonomi kita tidak kukuh, kalau pelaburan tidak meningkat, tidak ada harapan bagi anak-anak muda kita. Pekerjaan mereka, keperluan pendidikan mereka.
“Kembalikan fokus kita. Mahu berjaya, bukan kerana nak puaskan hati satu, dua pihak. Mahu berjaya, fokus pada isu ekonomi. Fokus kepada kepentingan rakyat.
“Saya yakin, kalau kita mula dengan pandangan dan sikap sedemikian, Malaysia punya potensi sangat baik. Kita dalam keadaan masa depan yang sangat baik sekarang. Apa yang perlu, bersatu, bekerja, angkat martabat negara ini menjadi negara hebat di rakyat kita,” katanya.
Justeru itu katanya, mana-mana pihak yang cuba mencetuskan gangguan tidak sepatutnya dibiarkan meracuni pemikiran rakyat
“Yang nak kacau, timbul masalah, hari-hari marah-marah, ini kumpulan kecil. Rakyat terbanyak ini mahu negara ini aman, ekonominya maju dan hormat semua budaya dan agama dalam negara ini.
“Kita kadang-kadang terkesan dengan pandangan sekelompok kecil. Ya, boleh tetapi kadang-kadang sangat berlebihan. Sebahagian besar mahukan keamanan, perpaduan, kemakmuran. Jangan dibiarkan kelompok yang hanya timbulkan masalah ini,” katanya.