27 FEB : Laporan siasatan terhadap isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan diserahkan minggu hadapan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata Kabinet akan menimbang langkah selanjutnya berdasarkan hasil laporan siasatan Jawatankuasa Khas itu.
Kata Menteri Komunikasi itu, ini termasuk keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menyiasat kes tersebut bagi mengenal pasti mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
“Berhubung isu dakwaan salah guna institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat, laporan polis sudah dibuat dan pihak PDRM sedang menjalankan siasatan segera untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan.
“Jemaah menteri sudah bersetuju bahawa isu ini amat serius dan mengambil maklum cadangan penubuhan RCI.
“Justeru, Jemaah Menteri akan meneliti laporan jawatankuasa siasatan dan mempertimbang tindakan susulan, termasuk keperluan pelaksanaan RCI,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media, hari ini.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan pembentukan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi isu pemilikan saham Azam yang dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
Media antarabangsa, Bloomberg sebelum ini dalam laporannya mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham Velocity dengan nilai pegangan dianggarkan bernilai hampir RM800,000.
Namun Azam menegaskan beliau sudah tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar sebelum ini memaklumkan Azam sudah dipanggil 19 Februari lalu untuk memberi keterangan.