28 FEB : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat kes individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Menurut suruhanjaya itu, kandungan berkenaan dikenal pasti mengandungi unsur penghinaan terhadap agama Islam serta berpotensi mencetuskan ketegangan dan menggugat keharmonian awam.
“Setelah siasatan polis terhadap individu yang memuat naik gambar memijak al-Quran dijalankan, MCMC meneruskan siasatan lanjut di bawah Akta 588.
“Tindakan ini diambil susulan penularan satu kandungan di platform Threads yang dimuat naik menggunakan nama akaun ‘ryandaselva’, memaparkan perbuatan memijak al-Quran,” menurut MCMC dalam satu kenyataan.
Terdahulu, kes itu tular di media sosial hingga mencetus kemarahan umat Islam.
Dalam kenyataan sama, MCMC memaklumkan sudah mengambil keterangan individu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada Khamis bagi melengkapkan siasatan.
Jika disabitkan kesalahan, individu berkenaan boleh dikenakan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua- duanya sekali.
Dalam pada itu, MCMC mengingatkan orang ramai agar menggunakan platform media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyebarkan kandungan yang boleh mengganggu ketenteraman awam, menyentuh sensitiviti agama atau menjejaskan perpaduan negara.