28 FEB : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.15 peratus (%) bagi Simpanan Konvensional dan Shariah, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata jumlah agihan bagi Simpanan Konvensional sebanyak RM67.1 bilion dan RM12.5 bilion bagi Simpanan Shariah.
“Keseluruhan jumlah agihan pendapatan untuk tahun 2025 itu melibatkan RM79.6 bilion,” katanya ketika Taklimat Prestasi Kewangan KWSP, hari ini.
Dividen itu lebih rendah daripada yang diumumkan bagi tahun 2024 iaitu 6.3% melibatkan agihan pendapatan RM73.24 bilion.
Dalam pada itu katanya, pasaran ekuiti yang berdaya tahan dan pulangan stabil daripada pendapatan tetap memacu pendapatan itu.
“Bagi tahun berakhir 31 Disember 2025, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM82.7 bilion, meningkat 9.5 peratus berbanding RM75.5 bilion pada tahun 2024.
“Aset pelaburan meningkat kepada RM1.409 trilion, naik 12.8 peratus daripada RM1.25 trilion, didorong pendapatan portfolio serta jumlah caruman bersih sebanyak RM66.5 bilion,” katanya.
Katanya lagi, ekuiti kekal menjadi penyumbang utama dengan menjana RM50.7 bilion iaitu 64 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan mengatasi RM49.9 bilion yang dicatatkan pada 2024.
Sementara itu, KWSP turut memaklumkan jumlah caruman meningkat kepada RM121.5 bilion pada 2025, menokok 12.3%.
Selain itu, jumlah keseluruhan ahli juga meningkat kepada 18.1 juta orang.