2 APR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap lima individu yang disyaki menyebarkan maklumat berunsur palsu mengenai kenaikan harga petrol dan diesel di platform media sosial Threads.
Melalui satu kenyataan, MCMC memaklumkan pihaknya sudah memanggil tiga daripada lima suspek tersebut untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
MCMC berkata, menurut aduan yang diterima, kandungan disebarkan kesemua suspek berkaitan kenaikan harga bahan api petrol dan diesel itu didapati palsu, mengelirukan serta berpotensi menimbulkan kegelisahan kepada pengguna.
“Hasil semakan lanjut, pihak Buletin TV3 telah mengeluarkan penafian terhadap penerbitan kandungan yang disunting menggunakan identiti visual mereka.
“Susulan itu, pihak MCMC juga menerima aduan daripada Buletin TV3 bahawa kandungan palsu yang tular tersebut adalah bukan daripada mereka dan dilakukan oleh pihak ketiga,” menurut MCMC dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Dalam kenyataan sama, MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam,” katanya.
*FOTO : MCMC