6 APR : Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan berterusan ke atas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) yang mengorbankan nyawa dan mengakibatkan kecederaan anggota pengaman.
Wisma Putra dalam satu kenyataan menegaskan serangan-serangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.
“Insiden terbaru pada 3 April 2026 di El Addaiseh telah mencederakan tiga lagi anggota pengaman Indonesia.
“Serangan-serangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan pihak yang terlibat mesti dibawa ke muka pengadilan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Malaysia menyeru semua pihak untuk memastikan keselamatan anggota pengaman PBB sambil menekankan bahawa misi pengaman PBB tidak boleh diganggu-gugat.
Selain itu, Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil tindakan tegas termasuk memastikan perlindungan segera pasukan pengaman PBB di Selatan Lubnan.
Pada 29 dan 30 Mac lalu, tiga anggota pengaman Indonesia dilaporkan terbunuh manakala lima lagi cedera.
Terbaharu, satu letupan pada 3 April lalu di Lubnan yang mencederakan tiga anggota pengaman dari negara itu.
Indonesia menuntut siasatan segera dijalankan susulan insiden itu.