Petronas tidak bekal diesel ke Filipina
13 APR : Bukan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) yang membekalkan diesel kepada Filipina.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan syarikat yang membekalkan bahan api kepada negara berkenaan adalah syarikat perdagangan komoditi asing iaitu VITOL.
“Dia (VITOL) memang ada perjanjian bawa minyak jual ke Filipina. Bukan kita bagi kepada Filipina.
“Tetapi kita tidak menahan. Kita bagi laluan. Minyak orang dalam perjanjian asing.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz negeri di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu, hari ini.
Justeru itu, beliau menggesa agar kontroversi berhubung pembekalan diesel kepada Filipina itu dihentikan segera.
“Saya harap hentikanlah kontroversi ini dan tumpukan untuk bangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang,” katanya.
Kelmarin, media Filipina melaporkan kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara itu ketika pasaran minyak global berdepan ketidaktentuan susulan krisis di Asia Barat.
Semalam, Petronas menafikan laporan menghantar bekalan diesel dari Malaysia ke Filipina di tengah-tengah krisis tenaga global.
Jelas Petronas, tidak sebarang perjanjian dengan mana-mana pihak di Filipina berkait diesel.
