KENYATAAN MEDIA
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil maklum persoalan yang dibangkitkan berhubung tindakan penguatkuasaan terhadap dua buah penerbitan bertajuk “Memoir Shamsiah Fakeh: Dari Awas ke Rejimen Ke-10” dan “Komrad ASI (Rejimen 10): Dalam Denyut Nihilisme Sejarah” yang telah dikenakan Perintah Larangan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301]. Dalam hal ini, KDN ingin menegaskan bahawa setiap tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan penilaian semasa dan kepentingan keselamatan awam, dan bukan semata-mata bergantung kepada tarikh penerbitan sesuatu bahan.
Sehubungan itu, KDN ingin menjelaskan bahawa tindakan penguatkuasaan tidak tertakluk kepada tempoh sesuatu penerbitan diterbitkan, sebaliknya dilaksanakan berdasarkan penilaian semasa terhadap kandungan serta implikasinya kepada keselamatan dan ketenteraman awam. Dalam hal ini, setiap tindakan diambil secara sah, teliti dan berasaskan peruntukan undang-undang serta kepakaran yang berkaitan.
Penilaian kandungan dibuat berlandaskan Seksyen 7 Akta 301, khususnya terhadap elemen yang boleh memudaratkan keselamatan awam. Hasil pemantauan berterusan serta maklumat risikan yang diterima, KDN mendapati terdapat bahan penerbitan yang mengandungi unsur dan ideologi komunisme yang mula beredar secara lebih terbuka di pasaran. Jika sebelum ini penyebaran bahan seumpama ini bersifat terhad dan tertutup, perkembangan mutakhir menunjukkan kecenderungan untuk menormalisasi serta mengagung-agungkan fahaman tersebut, yang jelas bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara.
Dalam konteks ini, KDN menolak dakwaan bahawa tindakan penguatkuasaan bertujuan menyekat kebebasan intelektual atau wacana ilmiah. Sebaliknya, tindakan ini adalah langkah pencegahan yang perlu bagi melindungi masyarakat daripada penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan keharmonian dan ketenteraman awam.
KDN tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan untuk menyebar, mempromosi atau menghidupkan semula ideologi yang bertentangan dengan undang-undang. Siasatan sedang dijalankan terhadap kedua-dua penerbitan tersebut, serta melibatkan pihak penerbit seperti SIRD bagi memastikan pematuhan kepada keperluan perundangan, termasuk status pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).
Semua pihak juga diseru agar tidak membesarkan isu ini atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan sehingga mencetuskan polemik awam. Sebarang semakan berkaitan status larangan penerbitan boleh dibuat melalui saluran rasmi Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, KDN.
KDN kekal komited dalam melaksanakan pemantauan berterusan terhadap sebarang elemen yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam, demi memastikan kedaulatan undang-undang serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.
KEMENTERIAN DALAM NEGERI