17 APR : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggesa semua pihak berhenti daripada menyebarkan berita palsu berkait MyKad baharu.
Menurut satu kenyataan di Facebook, JPN menegaskan dakwaan yang menyebut MyKad baharu akan dikeluarkan tanpa gambar adalah tidak benar.
“Dakwaan bahawa MyKad baharu akan dikeluarkan tanpa gambar dan hanya mempunyai Kod QR adalah tidak benar.
“Hentikan penyebaran berita palsu.
Teliti, baca dan semak kesahihan setiap maklumat sebelum berkongsi,” menurut kenyataan itu.
Menjelaskan perkara itu, JPN menegaskan Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990) menetapkan kad pengenalan mesti dilengkapi dengan gambar pemilik.
“Untuk pengetahuan anda, PPN 1990 telah menetapkan bahawa setiap Kad Pengenalan hendaklah mempunyai butiran asas tertentu.
“Antaranya nombor kad pengenalan, nama dan alamat, taraf kewarganegaraan dan gambar pemilik,” kata JPN.
Orang ramai diingatkan untuk mengikuti saluran rasmi JPN untuk maklumat tepat dan sahih.