20 APR: Malaysia muncul sebagai negara dengan sokongan tertinggi di dunia terhadap cadangan mengehadkan penggunaan media sosial kepada individu berusia bawah 16 tahun, menurut kajian global Family First dijalankan Varkey Foundation.
Kajian itu mendapati sebanyak 77 peratus ibu bapa di Malaysia menyokong pelaksanaan had umur minimum tersebut, sekali gus meletakkan negara di tangga teratas berbanding 14 negara lain yang terlibat dalam kajian berkenaan.
India berada di kedudukan kedua dengan 75 peratus sokongan diikuti Perancis sebanyak 74 peratus manakala Jepun merekodkan kadar sokongan terendah iaitu 38 peratus.
Kajian global itu melibatkan 6,002 ibu bapa, 6,011 anak berusia antara sembilan hingga 18 tahun, 3,000 datuk dan nenek kepada kanak-kanak dalam lingkungan umur sama serta 3,000 responden Generasi Z (Gen Z).
Ia dijalankan bermula Januari hingga Februari 2026 yang merangkumi 15 negara iaitu Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, India, Jepun, Kenya, Malaysia, Nigeria, Sweden, Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).
Selain ibu bapa, golongan muda di Malaysia turut menunjukkan sokongan tinggi terhadap langkah itu apabila 62 peratus kanak-kanak dan remaja bersetuju dengan had umur tersebut berbanding purata global hanya 37 peratus.
Bagi kumpulan Gen Z pula, sebanyak 65 peratus responden di Malaysia menyokong cadangan itu berbanding purata global sebanyak 51 peratus.
Dapatan kajian itu mencerminkan kesedaran masyarakat Malaysia terhadap keperluan memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam ruang digital yang semakin mencabar.
Langkah itu juga selari dengan usaha kerajaan memperkukuh keselamatan dalam talian menerusi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang diluluskan sebelum ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini dilapor berkata kerajaan sedang menggubal 10 undang-undang subsidiari di bawah akta berkenaan termasuk usaha mengehadkan akses media sosial kepada pengguna bawah umur serta memperketat kawalan kandungan untuk remaja bawah 18 tahun.
Pada Oktober tahun lalu, jemaah menteri turut bersetuju menaikkan cadangan had umur minimum penggunaan media sosial daripada 13 tahun kepada 16 tahun.
Platform media sosial juga dijangka bakal melaksanakan sistem pengesahan identiti elektronik (eKYC) menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID bagi memastikan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara berkesan.
Kerajaan menyasarkan pelaksanaan penuh dasar itu seawal pertengahan tahun ini selepas fasa ujian kawal selia bersama platform media sosial selesai dijalankan.
Pendekatan tersebut dilihat sebagai konsep ‘delay, not ban’ iaitu menangguhkan akses sehingga usia lebih matang dan bukannya melarang penggunaan secara sepenuhnya.
Antara risiko utama yang menjadi perhatian termasuk buli siber, penipuan kewangan, eksploitasi seksual, ketagihan skrin serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Langkah itu juga dilihat penting bagi membantu perkembangan emosi yang lebih sihat selain mengukuhkan semula peranan keluarga dalam pendidikan digital anak-anak.
Dalam masa sama, platform media sosial turut dituntut memikul tanggungjawab lebih besar menerusi pendekatan ‘safety by design’ iaitu memastikan sistem perlindungan dibina sejak awal dan bukan hanya bertindak selepas berlaku kemudaratan.
Sokongan tinggi rakyat terhadap cadangan ini menunjukkan dengan jelas keselamatan kanak-kanak dalam ruang digital perlu diberi keutamaan.
Malaysia kini dilihat berada di barisan hadapan dalam usaha global memastikan internet menjadi ruang yang lebih selamat untuk generasi muda dan institusi keluarga.
OLEH: AISYAH BADRUL