Perancangan, pelaksanaan STI perlu lebih strategik
11 MEI : Setiap perancangan dan pelaksanaan berkaitan sains, teknologi dan inovasi (STI) perlu digerakkan secara lebih strategik dan berkesan bagi memastikan Malaysia mampu mendepani cabaran ekonomi semasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu selari dengan tekad kerajaan untuk menjadikan STI sebagai pemacu utama dalam mencari penyelesaian kepada isu ekonomi negara.
Menurutnya, langkah tersebut penting bagi membolehkan Malaysia berdepan cabaran kewangan serta ketidaktentuan rantaian ekonomi global, termasuk krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat.
“Selari dengan tekad untuk menjadikan STI sebagai pemacu utama penyelesaian ekonomi negara, setiap perancangan dan pelaksanaan mesti digerakkan secara lebih strategik dan berkesan agar Malaysia mampu mendepani cabaran kewangan serta ketidaktentuan rantaian ekonomi global, termasuk krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara (MSN) Bilangan 1 Tahun 2026 di Putrajaya, hari ini.
Anwar berkata, tumpuan penuh terus diberikan kepada usaha memperkasa ekosistem STI negara menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif berasaskan misi yang diyakini mampu mengoptimumkan sumber, merangsang pertumbuhan ekonomi mampan serta memacu pembangunan berteraskan inovasi dan teknologi bernilai tinggi.
“Pendekatan ini amat penting, khususnya dalam memperkukuh sinergi strategik antara Kerajaan MADANI, sektor swasta serta institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) demi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemah kepada manfaat nyata buat rakyat dan negara,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA