13 MEI: Tuduhan dilempar terhadap sahabat Nabi Muhammad SAW oleh seorang wakil rakyat merupakan satu tuduhan yang berat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata kenyataan itu tidak wajar diungkap sewenang-wenangnya.
“Tular di media sosial dakwaan yang menyatakan bahawa Saidina Abu Bakar al-Siddiq merupakan seorang ceti dan Saidina Umar al-Khattab RA penzina pada zaman Jahiliyyah.
“Kenyataan seperti ini merupakan tuduhan yang berat serta tidak wajar diungkapkan secara sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi terhadap para sahabat Nabi SAW yang mempunyai kedudukan mulia di sisi Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, tular video ceramah Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhamad Zawawi Salleh yang menggambarkan empat sahabat Rasulullah iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Usman al-Affan dan Ali Abi Talib yang mempunyai sejarah hidup keji sebelum memeluk Islam.
Antaranya, beliau mendakwa Sayidina Abu Bakar sebagai seorang ‘bapa ceti’ yang gemar memeras orang miskin semasa berada dalam zaman jahiliyah dan Sayidina Umar pula digambarkannya sebagai lelaki yang zalim serta suka berzina sebelum memeluk Islam.
Dalam pada itu, Ahmad Fauwaz berkata secara umumnya, umat Islam mengetahui bahawa para sahabat Rasulullah SAW khususnya Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar merupakan insan terpilih dalam memperkukuhkan dakwah Islam serta memimpin umat selepas kewafatan Baginda SAW sebagai khalifah.
Oleh itu, katanya adab dalam berbicara mengenai para sahabat hendaklah sentiasa dipelihara agar tidak menimbulkan fitnah dan kekeliruan dalam masyarakat.
Menurutnya, kedudukan Saidina Abu Bakar dalam kalangan masyarakat Quraisy sebelum kedatangan Islam sememangnya sangat mulia dan dihormati di mana beliau diberi tanggungjawab menguruskan hal berkaitan diyat serta membantu individu yang dibebani hutang.
“Tanggungjawab tersebut merangkumi usaha mengumpulkan bayaran diyat untuk diserahkan kepada keluarga mangsa serta membantu melunaskan hutang golongan yang menghadapi kesempitan kewangan. Amanah besar ini menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar merupakan seorang yang dipercayai masyarakat kerana sifat amanah, pemurah dan prihatin terhadap kebajikan orang lain.
“Kisah ini jelas menggambarkan bahawa Saidina Abu Bakar bukanlah seorang ceti atau peminjam wang sebagaimana yang didakwa. Sebaliknya, beliau merupakan tokoh penting dalam masyarakat Quraisy yang memainkan peranan menjaga kebajikan sosial dan membantu golongan yang memerlukan. Sifat dermawan beliau terhadap masyarakat juga menjadi antara sebab mengapa beliau dihormati sebelum Islam dan seterusnya diangkat sebagai sahabat paling rapat dengan Rasulullah SAW setelah memeluk Islam,” katanya.